Thursday, 15 October 2015

sahabat: Anugerah terindah dari Ilahi


Kita dah terbiasa menangis. Dah terbiasa merintih. Dah terbiasa melihat ujian demi ujian dari sudut yang kadangkala sangat berbeda dari pandangan manusia-manusia di luar sana.

Saat diduga, kita acapkali cuba untuk menanganinya sendiri.

Paksa diri untuk teguhkan kaki.
Cuba bangun walau jatuh berkali-kali.
Pendam, kunyah, telan dan hadam apa sahaja yang merintangi.


Kita selalu percaya diri. Terlalu percaya. Terlalu yakin bahawa kita tak perlukan apa-apa atau siapa-siapa.

Kalau boleh kita nak sembunyikan apa jua yang ternampak dek pandangan mata.

Kita hapuskan kesan airmata.
Kita sorokkan tangisan hiba yang meruntun jiwa.
Kita meraung. Menjerit. Memekik. Dan mengongoi tanpa suara.

Sebab kita percaya kita kuat.
Sebab kita nak orang benar-benar percaya kita kuat.
Sebab kita tak nak orang memandang kita dengan pandangan simpati.

Tak nak! Kita tak nak!
Kita rasa kita manusia hebat. Kita manusia kuat. Kita manusia yang utuh. Manusia yang tak akan terusik dek apa-apa. Manusia yang kaku. Manusia beku. Manusia yang tak pamerkan walau sekelumit riak. 
Kita manusia yang kononnya hebat!!

Tapi kita lupa akan beberapa asaskehidupan.

Kasih sayang, cinta dan persahabatan.

Belajar untuk berkongsi!

Belajar untuk luahkan apa yang meruntun bahu.

Belajar untuk sebarkan keperitan dan kelukaan kamu.

Belajar. Belajar. Dan belajar!

Kadangkala kita ingat manusia-manusia di sekeliling kita ini terpedaya akan lakonan kita. Kita kena ingat seperkara.

Mereka-mereka mungkin lebih terdera melihat kepura-puraan kita itu

Terkadang kita mungkin terbawa-bawa dengan watak yang sempurna dan tiada apa-apa. Sampai satu tahap, kita tak sedar bahawa sebenarnya kita sedang melukai hati kita sendiri.

Sampai bila kita ingin menyakiti? Sampai bila?

Jangan dipendam semuanya sendiri. Kita mungkin akan lebih terluka nanti. Lebih sengsara. Lebih menderita.

Luahkan.
Kongsikan.
Sebarkan.

Kita punya pilihan.!

Pasti ada yang peduli akan jatuh bangun kita.

Pasti ada yang akan melangkah bersama-sama kita.

Pasti ada yang akan meminjamkan bahu untuk kita hamburkan satu persatu yang mengasak kalbu.

Pasti ada yang akan menggenggam erat jemari saat sukar itu.

Dan pasti, insan yang bersama-sama kita itu akan setia menemani hari-hari kelam itu.

Kerna insan hebat seperti itu akan terus berada di samping sahabatnya selalu.



*Terima kasih sahabat kerna ada di setiap ruang waktu. 

No comments: